Friday, November 15, 2013

Bapa Borek Anak Rintik



bapa borek anak rintik 1


 Salam

Saya andaikan anda sedang relaks di hujung minggu. Sambil duk relaks-relaks tu, tentu ramai yang rajin 'skodeng' blog-blog, kan? Kalau ada yang terhinggap di blog ini, jangan risau saya bukan mengajar Bahasa Melayu, sekadar nak bercerita sahaja.

Adalah seorang kawan tu, dia bising dan merungut tentang anak daranya. Katanya, "Anak dara I ni tak tahu lain, asyik shopping aje. Dah tu, semuanya nak yang branded dan mahal-mahal, macamkan gaji dia besar sangat!"

"Iyalah, dia tengok siapa lagi kalau bukan you. Bukan ke you suka shopping? Dah tu semuanya mesti branded, kan?"

"Tapi, I guna duit I. Gaji I dah besar dan suami I pun gaji besar. Dia... belum kahwin lagi. Kalau dia shopping guna duit dia tak apalah, tapi dia guna kad kredit I. Jenuh I nak bayar pulak."

Saya senyum aje seraya berkata, "What do you expect?" Sebetulnya, anak dara kawan saya itu memang tak faham. Yang dia tahu ialah ibunya memang mampu dan ayahnya lagi mampu. Jadi, peduli apa dia? Apa yang dia lakukan hanyalah ikut cara dan gaya ibunya. Ibu kuat shopping, dia pun ikut sama. Inilah yang kita kata 'Bapa borek anak rintik' atau mungkin lagi cantik, 'Ibu borek anak dara rintik'... hehe.

Yang satu lagi pula, lagi menarik. Ibu bapa merungut kerana anak lelaki mereka tak tahu duduk di rumah. Lepas tu pula, anak mereka itu asyik keluar dengan perempuan. Lepas satu, satu, tak pernah putus-putus. Lepas tu pula, kalau marah, naik angin macam ada ribut taufan, sampaikan satu kampung boleh dengar suara dia. Bila ditanya, "Dia ni ikut siapa agaknya?"

Inilah jawapan ibunya, "Ayah dia memang macam tu. Masa muda, itulah kerjanya, asyik keluar dengan perempuan. Bila marah pun, macam tu lah suara dia meninggi macam semua orang pekak."

Haiya... patutlah anak dia macam tu. Jadi, kenapa nak merungut, kan? Anak-anak, termasuk yang kecil, memang pantas mengikut gerak laku ibu bapa. Malah, kalau kita jadikan sesuatu kelakuan seperti budaya kita, maka anak-anak akan ikut begitu juga. Kalau kita amalkan perbuatan yang tak cantik, maka buruklah budaya anak-anak. Kalau kita tunjuk perbuatan yang indah-indah, maka bersopanlah anak-anak kita.

Jadi... kalau anda tak familiar dengan peribahasa 'Bapa borek anak rintik', hah... inilah maksudnya. Mungkin elok sahaja kita berjaga-jaga kalau kita tak mahu anak-anak kita jadi 'tak elok' budi bahasanya.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment